nie cta mak aq yg wat......bca yerk sja kongsi
...........................................................................................................................................................
by : ROZIYAHTOL HALIYAH BINTI ISMAIL
PINTU rumah banglo dua tingkat itu dibuka. Breifcase dan beg tangan hitam dihempaskan ke atas sofa antik buatan Itali di ruang tamu rumah. Mandala yang tersusun rapi itu ditinggalkan . Wanita separuh umur itu terus menuju ke dapur. Peti sejuk dibuka. Air tin diambil lalu disedutnya dengan puas. Hilang rasa penat setelah seharian di pejabat. Sejak ketiadaan Mak Munah, rutin hariannnya juga berubah.
Orang gajinya itu bercuti seminggu untuk meraikan majlis perkahwinan saudaranya di kampung. Suasana petang itu sepi sekali. Rumah besar, namun tidak berpenghuni. Biasanya petang-petang begitu, dia disambut oleh Mak Munah, orang gaji yang dianggap seperti ibunya sendiri. Tin air yang telah kosong ditingggalkannya di atas meja di ruang tamu yang tersergam indah itu. Dia mencapai beg tangannya lalu menuju ke tingkat atas. Hajatnya satu, merehatkan badan sambil menenangkan fikiran setelah seharian bertungkus-lumus menangani kerja-kerja di pejabat.
Dia cuba berbaring. Namun fikirannya melayang. Mengingatkan peristiwa di pejabat tadi, hatinya jadi tidak menentu. Pelbagai persoalan muncul di benaknya. Rasa bersalah datang tiba-tiba. Tercabar juga hati seorang ibu sepertinya. Masih terngiang-ngiang ditelinganya suara yang didengarnya melalui telefon di pejabatnya pagi tadi.
“Puan Suria?”
“Ya saya. Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana?” Puan Suria cuba mencari jawapannya.
“Maaf puan, saya pengetua sekolah anak puan belajar. Ada masalah sedikit tentang anak puan.”
“Boleh puan datang ke sekolah esok? Ada beberapa perkara yang hendak dibincangkan mengenai masalah tersebut.”
“Boleh saya tahu apa masalah sebenarnya?” Puan Suria seperti tidak sabar lagi.
”Saya rasa baik puan datang sendiri. Itu lebih baik.”
“ Kalau begitu kata cikgu, saya ikut mana yang baik. Saya akan cuba datang esok.” Puan Suria tegas memberikan jawapan.
“Terima kasih puan.”
“Sama-sama.”
Gagang telefon terus diletakkan. Namun hatinya terus bergelora. Fikirannya kacau. Bertubi-tubi persoalan timbul di benaknya. Apa pula masalah kali ini. Rasanya tiada rekod hitam dalam diari anak bongsunya itu. Pernah suatu ketika dahulu, anak bongsunya itu disabitkan dengan masalah disiplin sekolah. Itupun bukan masalah yang besar. Masalah cinta monyet. Cinta tiga segi. Masalah tersebut telah dapat diselesaikan dengan baik hasil kerjasama dari guru dan semua pihak yang terlibat. Tidak mungkin ia berulang kembali. Ini tentu ada sebab lain.
Puan Suria seorang yang tegas tetapi penyayang. Pada anak-anaknya ditanamkan, disemai rasa tanggungjawab terhadap pelajaran. Selalu dipesan, apa pun yang terjadi, pelajaran perlu diutamakan. Biarpun tugas dan tanggungjawabnya di pejabat amat membebankan, namun amanah yang ditinggalkan oleh arwah suaminya tidak pernah diabaikan. Berkat kesabaran dan kesungguhan yang ada, dua orang anaknya telah berjaya mencapai cita masing-masing. Along kini telah bergelar doktor. Angah pula berada di tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Malaya. Sesungguhnya, dia metah bersyukur dengan segala anugerahNya. Kehidupannya sebagai ibu tunggal sejak kematian suaminya lima belas tahun dahulu, bukanlah satu masalah baginya terutama dalam memberi didikan kepada anak-anak. Semua anaknya ditatang bagai minyak yang penuh.
Tuk ! tuk ! tuk ! Tersedar Puan Suria dari lamunan bila pintu biliknya diketuk. Tersengih Mak Munah bila pintu bilik dibuka.
“Oh! Mak Munah. Dah lama sampai?”
“Baru lagi. Melihat beg puan tersadai di sofa, saya bawakan ke atas.” Jelas Mak Munah.
“ Maaf puan, kalau saya mengganggu.”
“Tak mengapa. Sebenarnya saya hendak turun ke bawah tadi, tetapi bila memikirkan Si Amri tu , tergendala juga niat saya.”
“Apa halnya dengan Amri? Bergaduh lagi ke?” Tanya Mak Munah bila mereka beriringan menuruni anak tangga rumah banglo tersebut.
“Entahlah Mak Munah, saya pun tak faham. Pihak sekolah minta saya pergi ke sekolah esok, katanya pasal Amri.”
“Sebut pasal Amri, dia ke mana puan? Dari tadi batang hidungnya pun tak nampak”
“Pagi tadi, dia beritahu ada kelas tambahan. Kejap lagi sampai agaknya.”
Puan Suria seolah-olah memujuk hatinya sendiri. Mak Munah terus ke dapur. Rutinnya diteruskan seperti biasa. Makan malam perlu disiapkan. Tinggallah Puan Suria di ruang tamu menunggu kepulangan anak bongsunya. Satu-satunya teman yang ada selain Mak Munah.
Azan Maghrib berkumandang di udara,. Serentak itu, wajah Amri tersembul di muka pintu. Dia masuk selepas memberi salam, memeluk dan mencium tangan ibu seperti kebiasaannya. Tanpa banyak berkata-kata dia terus naik ke atas. Ibunya menghantar dengan pandangan yang kosong. Kebiasaannya dia akan ke dapur, sebelum ke biliknya, tapi kali ini lain. Kemesraanya jauh berbeza. Puan Suria semakin berdebar.Fikirannya celaru. Dia membuat keputusan untuk menunaikan solat Maghrib.
Malam itu , suasana di meja makan rumah banglo yang tersergam indah itu seperti tidak berpenghuni. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Namun begitu, kenyataan Puan Suria mengenai panggilan telefon yang diterimanya pagi tadi, menyebabkan wajah Amri tiba-tiba berubah. Seleranya untuk makan juga bertukar. Kerisauannya tidak bertepi. Hidangan ditinggalkan. Puan Suria dan Mak Munah berpandangan sesama sendiri dengan seribu satu persoalan.
Amri terus naik ke atas. Mundar-mandir dia di dalam bilik bujangnya itu. Pelbagai soalan timbul dibenaknya. Berserabut kepala otaknya ditambah pula biliknya yang tidak terurus sejak seminggu peninggalan Mak Munah.
Teringat dia peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lalu.
”Amri, apa lu takut, cubalah” pujuk Lee.
”Betul cakap Lee”, sambung Aman pula.
”Aku takut la, kalau cikgu Rajan tahu, habislah kita” jawab Amri bila rakan-rakannya memujuk. Waktu itu , dia tidak pernah terfikir akan perasaan ibunya, orang yang paling disayangi dan dihormatinya. Dia sendiri tidak tahu ke mana pergi tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan seorang pelajar.
“Habislah aku kali ini. Alasan apa yang akan aku berikan nanti?”
Amri bermonolog sendiri. Semuanya atas kesilapannya sendiri . Entah syaitan apa yang merasuk sehingga dia terjebak dengan gejala yang tidak sihat itu. Dia tahu tindakan yang diambilnya adalah salah tetapi dia sudah terlanjur. Dia telah mengecewakan hati seorang ibu yang selama ini telah banyak berkorban demi memberi segala keperluan kepada anak-anaknya. Apa pun yang terjadi, dia sedia menerima hukuman.
Keesokannya, kedua beranak itu beriringan menuju ke destinasi yang sama. Dalam perjalanan, tiada sepatah kata yang meluncur dari kedua-dua bibir mereka. Masing-masing memendam perasaan. Puan Suria rasa seperti tidak sabar. Hendak ditanya anaknya itu, terasa tindakan begitu tidak betul. Bagi Amri, perjalanan yang ditelusuri begitu cepat berlalu. Maknanya, cepat pula dia akan menerima hukuman. Walaupun dia reda kerana dia tahu akan kesilapannya itu, namun hatinya tetap bergelora.
Setibanya mereka di sekolah, suasananya sepi sekali. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Puan Suria sengaja melewatkan kehadirannya hari itu agar tidak bertembung dengan keghairahan murid dan guru untuk memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran hari itu.
“Oh, Puan Suria. Amri pun ada.”
Pengetua terus mempelawa Puan Suria ke biliknya dan Amri dikehendaki menghadiri kelas bersama murid-murid lain. Amri berasa lega kerana dia tidak dipelawa masuk bersama ibunya. Namun perasaan takutnya masih tidak dapat dibendung. Hari itu sesi persekolahannya langsung tidak bererti buatnya kerana fikirannya kacau.
“Setelah dipelawa duduk, mereka terus berbual-bual.” Perbualan mereka memakan masa hampir dua jam.
“ Begitulah ceritanya Puan Suria. Walaubagaimanapun pihak sekolah akan menyiasat apa punca sebenarnya sehingga Amri berkelakuan begitu. Sebelum ini dia tidak pernah menimbulkan masalah yang serius begini.”
”Mulanya, saya sendiri tidak percaya bila perkara ini dimaklumkan oleh cikgu Rajan. Saya kenal Amri sebagai salah seorang pelajar yang berdisiplin dan baik budi pekertinya”
”Pelajarannya pun baik” itulah sebabnya saya sukar menerima kenyataan yang dilontarkan oleh cikgu Rajan. Pengetua terus menjelaskan situasi sebenarnya dengan panjang lebar.
“Terima kasih cikgu. Minta diri dulu.”
Puan Suria terus berlalu dari perkarangan sekolah tersebut. Dia tidak pernah menduga Amri berani bertindak begitu. Selama ini dia memberi sepenuh kepercayaan terhadap anak bongsunya itu. Tetapi, sekarang apa yang telah terjadi? Puan Suria cuba mencari di mana silapnya. Mujur juga kegiatan tidak sihat anaknya itu dapat dikesan awal oleh pihak sekolah. Dia amat bersyukur kerana mendapat kerjasama yang cukup baik dari pihak sekolah. Sekurang-kurangnya masih belum terlambat baginya untuk memperbaiki keadaan. Dia sedar selama ini dia kurang meluangkan masa untuk anak bongsunya itu. Anaknya itu setiap hari dihantarnya ke sekolah dan disanalah anaknya menghabiskan masa. Dia sendiri sentiasa sibuk dengan tugas di pejabatnya yang tidak pernah ada kesudahannya. Tanggungjawab mendidik anak diserah bulat-bulat kepada pihak sekolah.Menitis air mata puan Suria bila memikirkan perkara tersebut. Namun, Sedar tidak sedar dia telah berada di perkarangan rumahnya.
Mak Munah bergegas menuju ke pintu bila kedengaran loceng berbunyi. Puan Suria masuk dalam keadaan yang muram. Terasa hari itu , hari yang malang buatnya. Seolah titik hitam mula berlabuh dalam kehidupannya. Selama ini, peristiwa begitu tidak pernah dialaminya.
“Air puan!” Mak Munah melabuhkan punggungnya berhampiran Puan Suria setelah segelas fresh orange diletakkan di atas meja.
“Terima kasih Mak Munah. Mujur juga ada Mak Munah . Boleh juga saya menumpang masalah,” rungut Puan Suria.
“Masalah? Apa pula masalahnya kali in?” Bertubi-tubi Mak Munah memuntahkan soalan.
“Amri, dah tiga hari ponteng sekolah. Kelmarin ada seorang guru sekolahnya ternampak dia nerayau-rayau di pasar raya dekat Bandar SP. Malang lagi, dia melihat Amri dan beberapa orang rakannya sedang menghisap rokok.”
Puan Suria terus bercerita kepada Mak Munah yang dianggap seperti ibunya sendiri. Mak Munah melopong dan tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun. Dia seolah tidak dapat menerima kenyataan itu kerana selama dia bekerja dengan keluarga itu, masalah seperti itu tidak pernah berlaku. Istighfar panjang Mak Munah bila mendengar perkara tersebut.
“Puan percaya dengan apa yang puan dengar?” Mak Munah cuba menenangkan perasaan majikannya yang bergelora itu.
“Entahlah,” keluh Puan Suria.
“Kita tunggu Amri balik nanti. Usahlah difikirkan sangat. Naiklah berehat dulu.”
Mak Munah memberikan cadangan. Puan Suria mengangguk dan dia terus ke atas. Mak Munah ke dapur sambil membawa gelas yang telah kosong. Menunggu kepulangan Amri tengah hari itu, seolah menunggu buah yang tidak gugur. Masa begitu lambat berlalu. Jika diikutkan hati, mahu dihukum anaknya itu seberatnya-beratnya. Namun dia tidak mudah melatah.
“Am, ibu nak Am berterus terang dengan ibu.”
Puan Suria memulakan bicaranya sewaktu mereka berehat di anjung selepas selesai makan tengah hari. Puan Suria terus menceritakan apa yang telah didengarnya melalui pengetua sekolah tempat Amri belajar. Amri membatu. Membisu seribu bahasa. Puan Suria terang-terangan melahirkan perasaan kecewanya teradap Amri. Amri tetap tidak menjawab. Dia tahu dia bersalah. Dia tersilap langkah. Disangkanya perlakuannya itu tidak dapat dikesan begitu cepat, namun sangkaanya meleset. Sebaliknya, dia telah mengecewakan ibunya yang telah banyak berkorban dan berjasa itu. Ini semua angkara tercabar dengan sikap rakan-rakan. Terasa seperti orang bodoh Amri waktu itu.
“Alah Am, sekali-sekala ponteng, tak kan tak boleh? Kita lepak-lepak sambil hisap rokok lagi bagus!” kata seorang rakan karibnya .
“Kalau anak jantan, join kami!”
Cabar seorang lagi rakan karibnya. Sebagai seorang lelaki bila diajukan persoalan begitu, tercabar juga keimanannya. Bermula dari situlah dia berjinak-jinak dengan kegiatan tersebut. Dia sudah pandai ponteng sekolah, mula melepak sana-sini dan lebih malang lagi sudah pandai merokok. Dia tahu ibunya tidak dapat mengesan kegiatannya itu, kerana dia selalu dihantar. Balik pula lewat atas alasan ada kelas tambahan. Ibunya percaya seratus peratus kerana sebelum ini dia tidak pernah berbohong. Namun begitu sepandai-pandai tupai melompat , akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib yang menimpanya.
“Am, dengar tak apa yang ibu cakap ni?”
“Am dengar, tapi Am tidak sengaja.” Jawab Amri tergagap-gagap,
“Tidak sengaja kata Am! Hati ibu sakit tau bila dengar berita ini.”
“Ibu, Am mengaku Am bersalah. Am mohon maaf ibu. Am janji Am tidak akan buat lagi.” Amri merayu ibunya.
“Am sedia terima hukumannya. Ibu hukumlah Am.” Amri akur akan kesilapannya dan dia berjanji dia tidak akan ulangi lagi kesilapan itu. Sebagai seorang ibu , hati Puan Suria mudah cair .Pengakuan anaknya itu memberi satu tamparan hebat baginya. Namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur.
“Ibu tak salahkan Am semata-mata, mungkin ibu juga bersalah. Cuma yang ibu kesalkan Am sanggup berbohong dan menipu semata-mata menyahut cabaran dari rakan-rakan.”
“Apa faedah yang Am dapat? Ibu selalu ingatkan , kalau berkawan biarlah kawan yang boleh membantu dan bukan yang mengajar kita jadi tidak menentu. Ibu harap Am masih ingat.”
Puan Suria terus memberi kuliah kecewanya seolah-olah tiada nokhtah lagi. Amri terus membisu. Tertunduk malu dia. Tindak-tanduknya membayangkan dia sudah sedia menerima hukuman. Suasana yang tadinya tegang mula beransur reda. Kehadiran Mak Munah dengan beberapa cawan air kopi mengendurkan suasana. Namun hati Amri masih berdebar. Dia masih berteka-teki tentang hukuman yang akan dikenakan terhadapnya. Aroma goreng pisang yang berada di hadapannya tidak dihiraukan.
“Orang yang bersalah tetap akan dihukum. Ibu sudah berbincang dengan Puan Pengetua pagi tadi tentang kedudukan Am. Ibu harap Am tidak kecewa dengan keputusan tersebut. Lagi pun ibu sendiri yang meminta supaya pihak sekolah berbuat demikian.” Puan Suria terus berkata-kata. Amri masih lagi kaku di tempat duduknya.
“Pihak sekolah setuju. Jadi Am akan digantung persekolahan selama seminggu. Dilarang bergaul dengan budak-budak nakal, apa lagi merokok. Ia ditegah sama sekali.” Puan Suria terus memberi hujahnya. Amri mengangguk tanda setuju.
“Tapi ingat, ini boleh dimaafkan kerana kesilapan kali pertama, jika berlaku lagi kesilapan yang serupa, terimalah padahnya nanti.” Puan Suria terus memberikan amaran.
“Am janji, Am sumpah, Am tak buat lagi.”
Amri berkata-kata sambil tangannya diangkat seperti orang bersumpah di mahkamah. Puan Suria menjeling kepada Mak Munah yang tekun mendengar perbincangan hangat mereka sejak tadi. Mak Munah tersenyum tanda setuju.
Amri tidak menduga hukuman yang diterima demikian rupa. Sangkanya, dia akan dibuang sekolah atau dihantar ke sekolah budak-budak nakal , namun kenyatannya jauh berbeza. Dia metah bersyukur. Dia berjanji untuk tidak menghampakan semua orang yang tersayang waima dirinya sendiri. Dia berazam akan memberikan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal diambilnya penghujung tahun nanti.
Mulai saat itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang. Peristiwa hitam yang menimpa dirinya tidak sedikit pun mencalar semangatnya untuk terus memperjuangkan cita-citanya. Demi seorang ibu dan perjuangan serta didikan para guru, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas segala jasa ibu dan para guru yang tidak jemu-jemu mendidik dan memberi nasihat juga tunjuk ajar kepadanya.
Puan suria pula tidak henti-henti mengucap syukur atas peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya dapat menyedarkannya agar tidak lalai tanggungjawabnya. Dia amat berterima kasih kepada pihak sekolah yang dapat bertindak segera dalam menangani masalah yang dihadapi oleh para pelajarnya.Jika tidak, dia sendiri tidak pasti apa yang akan terjadi pada anak bongsunya itu.
”Terima Kasih Cikgu”.
Ungkapan yang teretera pada kad jemputan yang telah siap ditempahnya. Diletakkanya kotak yang berisi kad tersebut di atas meja di ruang tamu rumahnya. Dia berasa puas.
”Jauh termenung nampak”, sapa Mak Munah bila melihat Puan Suria duduk di sofa sambil merenung jauh ke hadapan.
”Bukan apa Mak Munah,bila teringat kisah Amri dulu,rasa geli hati pulak!” ”Kesian pun ada, geram, malu,marah, apa-apa lagi lah”.
”Namun, bila diingat kejayaan yang diperolehnya, saya berasa bangga dengannya. Berkat kesabaran dan kesungguhan para gurunya, dia mencapai kejayaan yang cemerlang dalam SPM ”.
Puan Suria sudah lama berhajat untuk mengadakan kenduri doa selamat tetapi sehingga kini, dia belum berkesempatan berbuat demikian. Dia merasakan inilah masa yang sesuai untuknya.Oleh itu, dia tidak teragak-agak mengadakan kenduri kesyukuran atas apa yang telah dianugerahNya untuk meraikan kejayaan cemerlang anaknya itu. Dia ingin menghargai segala jasa yang ditabur oleh para guru kepada anaknya selama ini. Rasanya tidak salah dia berbuat demikian. Dia tahu apalah sangat majlis kesyukuran itu jika diukur dengan budi yang ditaburkan, tapi sekurang-kurangnya dia berasa puas. Dapat juga dia menzahirkan rasa terima kasihnya yang sekian lama dipendamkan itu.
Mak Munah dari awal lagi telah dimaklumkan tentang perkara tersebut. Malah dialah orang yang menyokong kuat apa yang hendak dilakukan oleh Puan Suria. Bertahun-tahun dia mendiami banglo tersebut.Dia telah mengenali hati budi setiap penghuninya, malah seluruh keluarga majikannya itu telah menganggap dia seperti ahli keluarga sendiri. Menjadi pakar rujuk dalam apa jua masalah yang mereka hadapi.
Amri? Anak bongsunya itulah yang memberi buah fikiran kepadanya. Segala persiapan dilakukan oleh mereka bagai menyambut menantu sulong. Kad undangan dan cenderahati turut disediakan. Semuanya itu semata-mata meraikan semua guru Amri yang dianggap telah banyak membantu kejayaan anaknya itu.
”Ibu, ada apa-apa yang boleh Am tolong?” Terkejut Puan Suria bila Amri menepuk belakangnya.
”Semuanya dah siap Am. Cuma satu sahaja permintaan ibu daripada Am.Kad-kad jemputan tu, ibu harap Am dapat sampaikan kepada guru-guru Am secepat mungkin.Untuk jemputan lain, ibu akan uruskan” terang Puan Suria kepada anaknya dengan penuh ceria.
”Kalau pasal itu, ibu jangan risau, Am boleh uruskan” jawab Amri dengan perasaan gembira.
Sejak keputusannya diperoleh, Amri tidak jemu-jemu mengucap syukur. Setiap kali selepas solat, dia tidak lupa berdoa akan kesejahteraan keluarga dan para gurunya. Dia tahu selama ini,merekalah yang banyak membantunya dalam pelajaran. Tanpa dorongan,bimbingan dan didikan mereka, dia sendiri tidak pasti apa kesudahan episod zaman persekolahannya. Teringat dia akan Cikgu Rajan, Cikgu Mona, Cikgu Heng dan ramai lagi yang selalu mengambil berat akan perkembangan pelajarannya.
”Melamun jauh nampak”.
Teguran cikgu Rajan mengejutkan Amri dari lamunan, namun suasana riuh rendah di ruang tamu rumah Puan Suria menenggelamkan perbualan mereka. Dari riak muka mereka, nampak sungguh ceria.
Di satu sudut yang lain, wanita separuh umur nampak terseyum puas. Maklumlah, para tetamu yang dijemput, hampir semua menghadirkan diri bagi meraikan kejayaan anak bongsunya itu. Biarpun dia tahu masih jauh perjalanan yang penuh ranjau dan duri yang perlu dilalui oleh anaknya, namun baginya inilah permulaan yang baik bagi mencapai pengakhiran yang lebih cemerlang di masa akan datang. Syukurnya pada Tuhan yang masih memberi kesempatan kepadanya untuk meraikan kejayaan anaknya walaupun menghadapi banyak kesukaran apa lagi setelah bergelar ibu tunggal. Puas bila dapat meraikan orang-orang yang telah banyak berbakti kepada dia dan anaknya.
Tetamu datang dan pergi. Semuanya pulang dengan membawa buah tangan yang kalimahnya tertulis ’Terima Kasih’.
”Terima kasih cikgu”. kalimah itulah yang meluncur keluar dari bibir Puan Suria sewaktu bersalaman dengan Puan Pengetua sekolah anaknya belajar. Dia sedar wanita tersebut telah banyak memberi semangat kepadanya.
”Tanpa bantuan daripada cikgu dan cikgu-cikgu lain, saya belum pasti tentang masa depan anak saya”, Puan Suria terus berkata-kata.
”Itu sudah menjadi tanggungjawab kami” kata Puan Pengetua sambil menjeling ke arah cikgu Rajan yang berada tidak jauh darinya. Kejayaan setiap murid adalah usaha meeka sendiri”, kata Puan Pengetua merendah diri.
Teringat Puan Suria akan kata-kata pengetua sekolah Amri. Sambil merebahkan badannya di atas tilam empuknya setelah seharian berpenat lelah melayan tetamu, dia yakin bahawa merekalah yang telah banyak berjasa kepadanya dan kejayaan cemerlang anaknya. Walaupun kejayaan anaknya itu adalah permulaan yang belum menjanjikan penyudahannya, dia tetap optimis dengan kesungguhan mereka mendidik anak bangsa. Padanya, tiada kalimah terindah yang dapat diungkapkan bagi menghargai jasa mereka selain melontarkan bait-bait klise yang berbunyi ’ Terima Kasih Cikgu’. Nampak seperti mudah, namun berapa ramaikah yang menghayati apa yang tersirat pada rangkai kata tersebut?. Dia sendiri sebelum ini tidak pernah menghayati ungkapan begitu, tetapi kini dia sedar ungkapan itu amat bermakna baginya. Untuk kesekian kalinya, ungkapan itu meluncur dari bibirnya.
”Terima Kasih Cikgu!” Syukur dia tetap padaNya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan